Baca ini dulu ya :)



Salam ^___^...terima kasih kerana singgah di blog hunny. Singgah, singgah juga. Baca, baca juga...tapi, hunny mohon, untuk mengingatkan diri hunny juga, agar janganlah blog ini dibaca sehingga anda mengabaikan kewajipan yang lebih utama. Hunnya tak mahu di akhirat nanti Allah tunjukkan pada hunny dosa hunny akibat menyebabkan ramai orang tinggalkan atau lengahkan solat, tak nak tolong ibu, tak buat kerja rumah, tak semak kerja murid, tak layan suami dan macam-macam lagilah...Jadi, kita beringat-ingat, berpesan-pesan ya. Allah suka lebih suka apabila kita bersederhana dalam sesuatu amalan, asalkan istiqamah dalam melakukannya :)...

Wednesday, September 12, 2012

Cinta Sampai Syurga Part 3

Assalamualaikum ^__^

Jumpa lagi murid-murid, dalam rancangan Cinta Sampai Syurga bersama Cikgu Noor. (wahaha, kalaulah boleh buat macam ni kat kelas. Konfirm jadi guru cemerlang.hihihi)
Part 3 ini adalah sambungan daripada Part 2. Macam yang hunny kata, hampir semuanya saling berkaitan. Tapi, kalau ada yang memilih untuk tidak membaca mengikut 'parts' kata orang putih, silakan baca secara 'ala carte' (faham tak ni?hehehe). Tak kisahlah kalau baca lompat-lompat pun, ikut keselesaan dan minat sendiri la kan? :) Yela, jenuh membaca semua, panjang-panjang pula en3 nya.huhuhu...ne nak molah T_T. Tapi takpe, tulis panjang2, baca banyak2, mudah-mudahan, Allah redha ^_^.

Ok, taknak intro panjang sangat, kita terus masuk bab seterusnya iaitu Rukun Islam. Maksud rukun agaknya boleh rujuk kat Part 2 (Klik sini)
Dah rujuk?
Boleh kita teruskan? :)

Rukun Islam adalah asas bagi Islam atau syarat untuk menjadi orang Islam. 
Hunny bagi satu contoh;

"Apa syarat nak jadi polis?"
"Sihat tubuh badan, tinggi mesti 160 cm, berat badan mesti 50kg, tak boleh rabun, SPM mesti dapat pangkat 1, tangkas, cepat dan cekap. Kalau takde salah satu, tak boleh jadi polis"

Contoh je..hehe..sorry ya, Tuan Puan Polis sekalian :)

Rukun Islam ni lebih kurang macam tu la. Kalau salah satu rukun ni takde, jadi tak sempurnalah Islamnya. Orang Islam wajib buat rukun ni. Kalau dah namanya wajib, bila tak buat, hukumnya apa? Berdosa la kan? Atau, keluar daripada Islam (yang ni mengikut sesetengah ulama). Wallahualam..

1.Rukun yang pertama dan utama adalah mengucap dua kalimah syahadah.
Syahadah adalah perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud kesaksian, atau ikrar. Lebih kurang macam tu la. Kan dalam Part 1 hunnya ada sebut pasal akidah dan iman; menunjukkan kita percaya dan yakin kepada Allah dengan cara membenarkan dengan hati, melafazkannya dengan lisan dan tunjuk melalui perbuatan.
Syahadah ni part itulah. Bahagian melafazkan kepercayaan dan keyakinan kepada Allah melalui lisan. Lafaz syahadah adalah seperti di bawah :

Imej ni hunny copy dari laman web PERKIM. Jumpa masa googling.

Lafaz ini haruslah disertakan dengan niat dalam hati bahawa dirinya beriman kepada Allah dan Rasul. Kiranya, syahadah ni macam akad la, si pelafaz menyerahkan diri atau kembali kepada Allah semata-mata dan dalam masa yang sama, menerima tanggungjawab sebagai seorang muslim dan mukmin. Selagi tak lafaz syahadah, selagi itulah seseorang itu tak dikira sebagai muslim melainkan dia lahir dan dididik sebagai anak yang beragama Islam. Tapi, orang Islam sendiri pun lafazkan syahadah ini setiap hari iaitu semasa solat 5 waktu. 
Kalau dah ucap sekali, tak bermakna kita tak boleh ucap lagi. Ummat Islam dituntut untuk memperbaharui syahadah dari semasa ke semasa sebab kita tak tahu bila kita secara tak tersengaja melakukan kesilapan yang menyebabkan kita boleh keluar dari Islam. Takut-takut nanti, masa malaikat maut datang, dia kata kita ni dah keluar dari Islam sebab satu perkara yang tidak kita sedari. Tak ke naya macam tu. huhuhu... Kita pula tak pernah nak perbaharui syahadah masa hidup. (nauzubillah)..Tu la yang selalunya kalau kita tengok TV, masa nak meninggal, mesti ada babak orang kat sebelah bisikkan syahadah kat telinga orang yang dah nak meninggal. Sebabnya, mudahan orang tu tak mati dalam kekufuran. Ni, alang-alang dah baca en3 ni, haa, lafazkanlah syahadah tu sungguh-sungguh.
Ini adalah rukun yang paling utama sebab inilah rukun yang mengesahkan kita sebagai ummat Islam. Kalau kita buat rukun lain, tapi tak tunaikan dulu rukun yang pertama ni, takde maknanya la. Melainkan dengan kehendak Allah. Wallahualam...

2. Solat lima waktu
Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Itulah 5 waktu solat yang wajib ummat Islam tunaikan tak kira dalam keadaan apa sekalipun kecuali atas sebab-sebab yang dibolehkan oleh syarak. Sakit, lumpuh, bermusafir, berkerja, semua kena tunaikan solat. Tapi, Allah bagi mudah. Kalau sakit ke, lumpuh ke, musafir ke, ada caranya untuk solat supaya tidaklah membebankan diri (yang ni kita cerita dalam bab lain pula ye, Insya Allah). Solat adalah satu set pergerakan dan bacaan tertentu yang disempurnakan mengikut turutan tertentu, dimulakan dengan niat dan diakhiri dengan salam. Simple je...tapi berat, bagi orang yang malas nak solat. 

Apa pentingnya solat? Kenapa kita mesti solat walau dalam keadaan apa sekalipun?
Tengok contoh dulu ya.
Ni dialog seorang mak kat anaknya.
Pukul 8 pg - "Nak, jangan lupa petang ni hantar mak pergi kedai ya".
Pukul 9 pg - "Nak, jangan lupa petang ni hantar mak pergi kedai ya."
Pukul 10 pg -  "Nak, jangan lupa petang ni hantar mak pergi kedai ya."
Pukul 11 pg - "Nak, jangan lupa petang ni hantar mak pergi kedai ya.Jangan pergi mana-mana tau"
Pukul 12 tgh hari - "Nak, jangan lupa petang ni hantar mak pergi kedai ya. Jangan pergi memana"
Pukul 1 ptg - "Nak, jangan lupa tau, apa yang mak cakap tadi" 

Tiba-tiba, pukul 2 ptg, kawan si anak datang ajak si anak pergi main bola.
Agaknya mana satu jawapan anak?
A. Tak bolehlah. mak aku minta hantar pergi kedai atau
B. Ok, jom. aku pun free petang ni.

Agaknya lah kan, kalau mak tu tak ingatkan si anak banyak kali, besar mana kemungkinan anak tu lupa yang dia kena hantar maknya pergi kedai? Kalau dah diingatkan berkali-kali?

Solat, kena buat, selalu, sebab Allah nak kita ingat pada Dia. Bila kita solat, kita ingat pada Allah sebab tujuan solat adalah menghadapNya. Bila kita ingat Allah, kita akan berusaha untuk menjauhi larangannya. Jarak di antara satu solat dengan satu solat fardhu yang lain tak jauh. Jadi, kiranya, belum sempat pun kita nak buat jahat kan,dah masuk waktu solat yang seterusnya. 
Sebab tu Allah kata :
Solat itu dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.

Dengan syarat, solat tu mestilah khusyuk dan merasa ihsan. :) Selain itu, solat juga adalah peluang yang Allah bagi untuk kita bercakap terus denganNya. Bayangkan, dalam sehari, berapa kali kita hubungi orang tersayang? Kalau hunny, biasanya telefon mak ayah sehari sekali. Kadang-kadang dua hari sekali. Rasa sayang dan tanggungjawab sebagai anak dorong kita hubungi keluarga selalu kan? Kalau berhubung dengan Allah 5 kali sehari pula? Tengok, banyak peluang Allah bagi untuk kita bermanja, mengadu dan meninta padaNya. Free pula tu. Tak payah sibuk2 nak topup kredit sebab nak hubungi Allah. Kalau tak cukup dengan 5 waktu boleh tambah lagi dengan solat sunnat, free juga. Masa tu lah kita nak nangis, nak minta pertolongan, nak mengadu pada Allah. Allah suka kita buat macam tu tau. Walaupun Allah dah tahu semuanya, tapi bila kita solat, kita dapat rasa wujudnya hubungan antara Tuhan dengan kita. Jadi, kita akan sentiasa dekat dengan Allah. Kalau kita jarang hubungi Allah (jarang solat) kita akan rasa jauh dariNya. Sebab itulah solat wajib, Allah nak kita rasa dekat denganNya. Faham tak?

3. Puasa di bulan Ramadhan
Banyak jenis puasa. Tapi yang wajib adalah puasa pada bulan Ramadhan. Puasa adalah tidak makan, minum dan melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbut fajar, sampai terbenam matahari. Senang cakap, dari masuk waktu subuh, sampai masuk waktu maghrib. 
Kalau tak kenal susah, kita takkan menghargai kesenangan. Jadi puasa ni kiranya macam satu bentuk 'kesusahan' yang Allah bagi supaya kita bersyukur dengan nikmat dan kesenangan. Walaupun puasa tu macam susah nak dibuat, tapi Allah jadikan Ramadhan sebagai bulan yang penuh keberkatan. Satu amalan yang dibuat, Allah lipat gandakan pahala berganda-ganda.

4. Membayar zakat
Membayar zakat adalah tanggungjawab kita kepada ummat Islam yang lain. Zakat dibayar untuk membantu ummat Islam lain yang memerlukan. Selain itu, zakat juga disalurkan untuk pembangunan Islam seperti digunakan untuk membina masjid, madrasah, dakwah dan sebagainya. Kalau Allah bagi semua manusia harta sama banyak, sama rata, konfirm semua manusia buat hal masing-masing. Takde yang nak saling tolong bantu. Jadi, takdelah hubungan kemanusiaan antara satu manusia dengan manusia yang lain. Betul tak? Lagipun, dalam setiap harta kita, ada bahagian orang lain. Sebab itulah kita wajib bayar zakat. 
Zakat ini juga peranannya adalah untuk menyucikan harta dan fitrah kita.

5. Pergi Haji Untuk yang mampu
 Nun, pergi ke Kota Suci Mekah untuk menunaikan haji. wajib bagi yang mampu sahaja. Kalau tak mampu, tak apa. Tapi, Allah galakkan kita berusaha agar kita masuk dalam kalangan orang yang mampu. Pergi haji ni, kita pergi menjadi tetamu Allah, menjalankan ibadah dan bersungguh-sungguh mendekatkan diri kepadaNya di sana.


Setakat ini sahaja perkongsian untuk kali ini. Maaf andai ada kesilapan, minta ditegur agar dapat diperbetulkan. Salam ^__^

Tuesday, September 11, 2012

Cinta Sampai Syurga Part 2

Assalamualaikum ^___^

Dah baca part 1? kalau belum, pergi baca dulu sebab semua part ni saling berkaitan. Takut-takut nanti kalau terus lompat ke part 2 dan seterusnya tanpa baca part 1, anda tak faham. Kalau dah faham, moleklah. Tapi kalau dah baca, alhamdulillah.hehehe ^^v

Baik, untuk entri kali ini, hunny akan cerita mengenai iman. Dalam Part 1, hunny dah ceritakan maksud iman kan.? Ingat lagi tak? maksudnya percaya dan yakin kan? Percaya kepada apa? haa, rujuk balik kat Part 1 (hehehe...). Hunny galakkan sangat-sangat kalau masa baca blog ini, anda buka new tab dan bandingkan isi kandungan yang hunny sampaikan dengan maklumat dari laman lain. Esp laman yang boleh dipercayai. Bukan apa, hunny hanya individu yang cetek ilmu yang mahu berkongsi tapi tak lepas dari buat silap. Lagipun, kata orang, jangan berguru dengan seorang sahaja, sebab guru pun manusia biasa.

Kalau sebelum ini hunny cerita tentang pengertian iman, sekarang kita sama-sama belajar tentang rukun iman pula ya? ^__^

Baiklah, rukun tu apa? Rukun tetangga?



Bukanlah. Kalau rujuk kamus, rukun tu maknanya tiang, asas atau syarat. Jadi, rukun iman adalah asas kepada iman. Kalau salah satu daripada rukun iman ni tak ada, tak lengkaplah iman tu. Kalau nak jadi orang beriman, kenalah cukup lengkap syarat-syaratnya. (Ingat boleh jadi orang beriman macam tu je ke?)
Macam rumah, kalau tidak ada asas, tak jadi rumahla kan? Kalau salah satu rukun iman tak dipatuhi, boleh batal iman seseorang. Kalau dah batal, alamatnya keluarlah dia daripada Islam. Nauzubillah...
Baik, kita teruskan ya.^__^

Rukun iman ada enam semuanya. Ikut ranking tau.

1. Percaya kepada Allah
Yang ini adalah yang paling mustahak.Percaya dan yakin bahawa Allah itu wujud, Esa (yakni hanya satu) dan tiada yang disembah melainkan Dia. Allah cukup sempurna sifatnya dan tidak sama dengan apa-apa pun. Allah tidak dilahirkan dan tidak melahirkan (yang ni dalilnya boleh rujuk surah Al-Ikhlas). Allah menguasai semua yang ada di alam ini dan alam-alam yang tidak kita ketahui. Kekuasaan Allah sangat luas sehingga kita manusia tidak mampu memikirkannya dan tiada perkataan yang dapat menggambarkannya. Dah kata tadi kan, sifat Allah cukup sempurnya tapi, yang kita kena tahu ada 20.

2. Percaya kepada Malaikat
Malaikat adalah makhluk yang Allah ciptakan daripada cahaya (Nur) dan Allah beri tugas kepada mereka. Malaikat adalah makhluk yang saat taat dan sentiasa beribadat kepada Allah. Malaikat menjalankan tugas atas perintah Allah tanpa henti. Antara tugas malaikat adalah seperti mencatat kebaikan dan kejahatan manusia (ada kat sebelah anda tu tengah catat sama ada perbuatan baca blog hunny ni kebaikan atau keburukan ikut arahan Allah,huhuhu), mencabut nyawa, menyampaikan wahyu, mendoakan orang yang berbuat kebaikan dan sebagainya. Malaikat ni tidak ada nafsu macam manusia. Jadi, malaikat tak makan, tak tidur, tak buat jahat dan tak kahwin. Jadi, jangan haraplah nak buat salah sebab ingat malaikat tengah tidur. Memang takkan.

Kenapa Allah ciptakan malaikat?Kenapa Allah beri tugas kepada malaikat? kalau Allah hebat, kenapa Allah tak buat sendiri?
Hmmm...agaknya ni soalan orang yang ragu-ragu. Kalau ada yang tanya macam ni, jawapan dia simple je "kalau Allah tak hebat, macam mana Allah boleh cipta beribu malaikat yang sentiasa ikut perintah Allah dan jalankan tugas masing-masing dengan lancar dan sempurna?" Mana ada makhluk yang boleh cipta makhluk lain kan?
Malaikat hanya buat apa yang Allah suruh. Kalau Allah kata buat, malaikat buat. Kalau Allah kata jangan, malaikat ikut. Kalau Allah nak, Allah boleh buat semua. Jangan dipersoalkan. Allah nak bagi kita berfikir. Allah nak bagi bukti pada kita tentang kekuasaanNya. Ok, katakanlah macam ni.

"Eh, Mak Limah pernah masuk TV tau."
"Yeke, mana kau tau?"
"Yela, dah minggu lepas aku tengok dia dalam rancangan ABC kat TV12. Mak aku ada rakam kalau kau nak tengok"

Kan??"Yeke, mana kau tau?"...Tu la manusia, nak persoalkan, nak juga ada bukti. Kalau bab benda hebat, memang susah nak percaya (tapi kalau cerita pasal keburukan, terus nak percaya >.<) Allah dah tahu awal-awal lagi manusia macam tu jadi Dia sediakan bukti kekuasaanNya. Tinggal kita je nak berfikir ke tidak :)

Malaikat ni ada banyak. Sangat banyak. Tapi, yang kita wajib tahu ada 10, beserta tugas masing-masing. (Bab yang ni nanti hunny cerita k).

Boleh faham tak setakat ni? :)

3. Rukun yang ketiga adalah percaya kepada kitab.
Allah turunkan 4 kitab kepada manusia iaitu
a. Kitab Taurat - diperturunkan kepada kaum Nabi Musa a.s
b. Kitab Zabur - diperturunkan kepada kaum Nabi Daud a.s
c. Kitab Injil - diperturunkan kepada Nabi Isa a.s
d. Kitab Al-Quran - diperturunkan kepada ummat Nabi Muhammad S.A.W

Nabi Muhammad S.A.W adalah nabi dan rasul terakhir. Tak ada lagi nabi dan rasul selepas itu. Jadi, kita ni ummat Nabi Muhammad dan kitab kita adalah Al-Quran. Apabila turunnya Al-Quran, ia melengkapkan semua kitab-kitab sebelumnya maka kitab-kitab sebelum itu dimansuhkan. Jadi, pengangan kita hanyalah Al-Quran tapi kita kena percaya kepada kitab-kitab sebelumnya juga sebab semuanya datangnya daripada Allah. Tidak ada yang datang atau dibuat oleh manusia.

Kenapa kita wajib percaya kepada kitab? 
Lets say kita baru pertama kali nak buat kek. Boleh tak kita main campak je bahan-bahan dalam mixer lepas tu bakar? Mestilah tak kan. Konfirmlah kek tu masuk dalam tong sampah lepas kena marah dengan mak (pengalaman) Kita kena ada resepi,betul tak? Kat mana nak dapat resepi? mestilah kat buku resepi, laman web ke, tak pun, tanya orang. Bila dah ada resepi, kenalah buat kek ikut resepi. Kalau main ubah ikut sesuka hati, belum tentu menjadi.

Kitab tu macam tu jugalah. Jadi panduan kepada ummat manusia untuk segala urusan. Sebab itu, kandungan Ak-Quran sangat lengkap. Cukup lengkap. Allah mengajar kita melalui Al-Quran tentang semua perkara. Akidah, urusan perniagaan, cara menguruskan itu,ini, cara nikah, cara bahagiakan rumah tangga, cara didik anak dsb. Sebutlah apa sahaja, pasti ada dalam Al-Quran. Baik secara nyata, ataupun tidak. Percaya tak kalau hunny kata dalam Al-Quran ada disebut cara buat pisang goreng? Ada, cuba cari :) Semua ilmu saintifik yang baru dijumpai oleh saintis zaman sekarang pun banyak dah disebut dalam Al-Quran kan? Kalau tak jadikan Al-Quran sebagai panduan, samalah kita macam kek yang dibuang dalam tong sampah tu.

Cuma, kadang-kadang, kita tak faham kan? Kalau baca terjemahan pun susah nak faham..Itu pun Allah dah jangka awal-awal. Jadi, Allah utuskan rasul untuk membantu kita memahami Al-Quran. Sebab itulah kita kena berpegang kepada Al-Quran dan hadis :) Kita wajib percaya kepada Al-Quran sebab ianya datangnya daripada Allah. Ianya diibaratkan sebagai kalam Allah (Kata-kata Allah). Kalau kita percaya kepada Allah, takkan kita tak percaya kepada kalamNya?
Rasulullah dah lama tak ada. Tapi kandungan Al-Quran kekal sama sampai sekarang. Jadi, itulah panduan kita untuk menjadi ummat yang diredhai dan dikasihi Allah.

Boleh faham setakat ni? ^__^

4. Percaya kepada Rasul
Perasan tak, kat atas hunny ada sebut pasal Allah utuskan rasul untuk membantu manusia memahami Al-Quran? Memang betul. Itulah salah satu tujuan nabi dan rasul diutuskan, iaitu untuk mengajak manusia ke jalan kebenaran dan untuk mengajar manusia. 
Manusia ni kan, sifatnya perlu diajar. Kalau Allah letak nasi kat depan kita, tapi Allah tak ajar cara nak makan, kita tetap akan kelaparan. Sebab apa orang putih tak tahu cakap melayu, sebab tak belajar kan? Sebab apa kena belajar tinggi-tinggi baru dapat jadi doktor? Sebab manusia memang asalnya tak tahu atau tak pandai. Kena diajar baru pandai. Nampak tak apa peranan rasul? Nampak tak kenapa kita kena percaya kepada rasul?

Kenapa Allah tak ajar terus? Kenapa perlu rasul?
Kalau nak tahu, semua rasul atau nabi yang Allah lantik ada manusia biasa. Penekanan, MANUSIA BIASA yang maksum. Lagi satu peranan nabi dan rasul ni adalah sebagai model peranan. Mereka bukan setakat mengajar, tapi melakukan apa yang diajar. Kalau rasul yang juga manusia biasa tu boleh buat, kita pun boleh buat. Allah lantik rasul sebab Allah nak kita tahu, apa yang Dia suruh kita buat tu, tak mustahil untuk dilakukan. Sayang Allah pada kita...kita je yang selalu lupa.
Rasul yang kita wajib tahu ada 25 bermula daripada Adam a.s sampailah Muhammad S.A.W. 

5. Percaya kepada hari kiamat
Hari kiamat bukanlah the end of the world macam yang diwarwarkan orang ramai tu. Ada lagi alam selepas itu. Iaitu alam yang kekal abadi. Itu lah sebabnya alam yang sekarang ni hanya sementara. Sebab alam yang satu lagi tu jauh lebih hebat dan lagi dahsyat, tak dapat dibayangkan oleh manusia.
Hari kiamat adalah hari di mana alam ini dimusnahkan untuk Allah bawa kita ke alam lagi satu iaitu akhirat. Kat alam tu, semua amalan kita di dunia akan dihitung. Kalau banyak baik, Allah bagi ganjaran syurga. Kalau banyak dosa, Allah hukum di neraka (nauzubillah..)
Kita wajib percaya adanya hari kiamat/hari pembalasan dan berusaha untuk mengumpulkan bekal sebelum tibanya hari itu.

6. Akhir sekali, adalah percaya kepada qada dan qadar

Qada dan qadar adalah ketentuan Allah. Maknanya, semua yang berlaku kepada kita dan kepada alam ini adalah di bawah kuasaNya. KetentuanNya. Kalau Dia kata kun (jadi), maka jadilah. Allah Maha Mengetahui maka dDa tahu apa yang kita perlukan dan apa yang cukup bagi kita. Jangan kita persoalkan kenapa Allah duga kita sebab akhirnya nanti Allah akan bagi ganjaran kalau kita bersabar.

Pernah tak dalam kehidupan kita ni kita buat silap? Bangun lewat, lupa itu, lupa ini, buat salah. Uruskan wang dan masa pun tunggang-langgang. Dapat tak kita bayangkan macam mana kalau Allah serahkan hidup ni bulat-bulat pada kita? Kita kena tentukan berapa kali jantung kita berdegup, berapa banyak nafas kita nak hembus, berapa butir nasi kita nak makan, siapa jodoh kita, bila kita mati. Apa agaknya yang akan jadi? Rasanya ramailah yang berebut-rebut nak tentukan jodoh masing-masing dengan orang cantik kan? MasyaAllah, susah, bahkan mustahil nak pegang takdir hidup dalam tangan sendiri. Sebab itu takdir kita dalam tangan Allah.
Kalau kita percaya pada Allah, mestilah kita percaya apa yang Allah tentukan untuk kita kan? :) Boleh ke kita tentukan takdir kita dengan lebih baik?

Hunny says~Setakat ini saja perkongsian untuk kali ini. Hunny mohon maaf kalau ada yang tersilap dan tersalah. Kalau ada, tolong tegur ya, supaya boleh diperbetulkan. Kalau hunny tersalah, hunny tak sengaja. Tapi kalau anda tahu hunny buat salah, tapi buat tak tahu, haaaa ^^v

Cinta Sampai Syurga Part 1


Assalamualaikum ^___^

Untuk entri kali ini dan beberapa entri seterusnya, hunny akan cakap pasal asas-asas sebuah perkahwinan. Bukan sebab hunny nak nikah, tapi sebab baru selesai mengikuti kursus pra-perkahwinan.(hihihi) Memandangkan hunny bukanlah jenis yang pengingat sangat, jadi hunny sumbatkanlah semua perkara yang hunny pelajari dari kursus tu ke dalam blog ni. Sedikit sebanyak, bolehlah menjadi satu perkongsian sebab apa yang hunny belajar, bukannya khusus untuk perkahwinan sahaja, malah untuk kehidupan seharian juga. Kalau tulis dalam blog, insyaAllah tak hilang (melainkan terdelete T_T). Nanti kalau nak nikah, senang. Taip saja Piring Petri, terus boleh rujuk balik isi kandungan kursus. Hehehe…
Tapi, macam yang hunny tulis sebagai tajuk, kalau ada Part 1, mesti ada Part 2 dan seterusnya. Tujuan hunny bahagi-bahagikan menjadi banyak Part adalah disebabkan isi kandungan yang agak banyak. Itu pun kebanyakkannya adalah asas semata-mata. Suka hunny nak ingatkan, semua entri di bawah tajuk Cinta Sampai Syurga ni panjang-panjang. Jadi, sebelum teruskan, sit back, and enjoy. ^^V

Ok, untuk bahagian yang pertama, hunny akan cerita pasal perkara terpenting dalam sesebuah rumah tangga iaitu Akidah. Tidak ada akidah masih boleh nikah. Tapi, kalau nak dapat rumahtangga yang bahagia, dan cinta yang kekal insyaAllah sampai ke syurga, akidah kena ada, kena jaga ye tak? Yela, kalau nak bina masjid, kena ada asa yang kukuh. Kalau asas tak kukuh, nanti masjid runtuh. Kalau tak runtuh pun bergoyang, retak sini sana. Kan?

 Kenapa akidah penting?
Akidah penting sebab ianya adalah asas peribadi murni. Kalau dalam sesebuah rumahtangga itu suaminya berperibadi murni, isterinya pun begitu, anak-anak pun sama, agaknya, dari mana datangnya masalah? Siang malam ikut perintah Allah dan jauhi laranganNya. Allah suruh taat pada suami, ibu bapa, bertanggungjawab pada ahli keluarga, semua keluarga ni ikut. Agaknya dapat tak syaitan pecah-belahkan keluarga ni?Kalau ada masalah pun, agaknya boleh tak keluarga ni atasi?

Apa itu akidah?
Akidah adalah setiap kepercayaan dan tingkah laku yang diperlihatkan oleh seseorang individu muslim (gelaran bagi orang yang beragama islam) melalui ucapan serta membenarkan dengan hati lalu ditunjukkan dengan perbuatan. Semuanya haruslah berlandaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. (Tentang Al-Quran, InsyaAllah hunny akan cerita pada entri seterusnya)
Akidah itu asasnya Islam, Iman dan Ihsan. 

Apa itu Islam? Siapa orang Islam?
Ok, ingat dua ayat ini;
Pengertian Islam adalah,
1.       Tunduk dan patuh kepada Allah SWT dan
2.       Menunaikan ajaran yang dibawa oleh utusan Allah iaitu Nabi Muhammad SAW.
Jadi, orang Islam bolehlah dikatakan sebagai orang yang tunduk dan patuh kepada Allah serta menunaikan ajaran yang disampaikan oleh utusanNya.
Faham?^__^

Apa pula pengertian iman?
Iman diertikan sebagai percaya dan yakin. Ingat tau, percaya DAN yakin. Bukan percaya ATAU yakin. Keduanya harus hadir serentak. Kalau percaya sahaja tapi tak yakin tak boleh juga.

Kena percaya dan yakin kepada apa?
Percaya dan yakin kepada Allah, dengan cara, membenarkan dengan hati bahawa Allah itu satu-satunya Tuhan yang wajib disembah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruhNya. Membenarkan dengan hati haruslah disertakan dengan ikrar melalui lisan bahawa kita percaya dan yakin. Akhir sekali, bila hati dan tutur kata kita dah menunjukkan bahawa kita yakin, kita tunjuk dengan perbuatan. Bagaimana?

Hunny ambil contoh mudah. Katakan bahawa anda suka warna kuning. Dalam hati, anda yakin bahawa warna kuning adalah warna kegemaran anda kerana anda sentiasa suka melihat warna kuning. Kemudian, anda beritahu semua orang bahawa anda sukakan warna kuning. Bila anda dah yakin bahawa sukakan kuning, jadi tingkah laku anda menunjukkan anda suka kuning. Anda beli barang warna kuning, puji barang warna kuning cantik dan memilih barang-barang berwarna kuning sahaja, kan?

Begitu juga iman. Anda yakin Allah itu ada dan dalam hati, anda mempercayainya. Anda melafazkan kepercayaan anda dengan syahadah (kesaksian) bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Dia dan Rasulullah itu pesuruhNya. Bagaimana caranya kita nak tunjukkan bahawa kita percaya kepada Allah? Mestilah dengan cara mengikut semua perintahNya, meninggalkan laranganNya dan yang paling penting sekali, tidak menyekutukan (iaitu menyamakan Allah dengan makhluk lain atau menyembah selain Allah) Allah dengan apa-apa sekalipun. Boleh faham tak?

Akhir sekali adalah Ihsan. Apa itu Ihsan?
Iman adalah percaya, kan? Kita percaya Allah ada, kita percaya Dia melihat kita, mengawasi kita, menghitung kebaikan dan kejahatan kita serta menjaga kita. Kalau kita yakin bahawa Allah melihat kita, beranikah kita meninggalkan suruhanNya? Of course taklah kan? Adakah kita berani buat apa yang disuruh dengan sambil lewa? Agak-agaknya macam ni;

“Ish,takkan aku nak sembahyang tak khusyuk ni. Allah sedang tengok aku.” Haa..kiranya macam itulah ihsan.
Iaitu, melakukan ibadat dengan khusyuk, ikhlas dan yakin bahawa Allah sentiasa mengawasi apa yang sedang dilakukannya.

Individu yang mempunyai akidah yang mantap, sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah. Dia sentiasa yakin dan percaya bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan tiada Tuhan yang disembah melainkan Dia. Individu ini juga yakin bahawa Allah itu sentiasa ada dan memerhatikannya. Oleh itu, segala amalan dan ibadatnya dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah.
Boleh faham tak setakat ni? :)

InsyaAllah, kita sambung lagi pada en3 yang berikutnya ya. Salam ^___^