Baca ini dulu ya :)



Salam ^___^...terima kasih kerana singgah di blog hunny. Singgah, singgah juga. Baca, baca juga...tapi, hunny mohon, untuk mengingatkan diri hunny juga, agar janganlah blog ini dibaca sehingga anda mengabaikan kewajipan yang lebih utama. Hunnya tak mahu di akhirat nanti Allah tunjukkan pada hunny dosa hunny akibat menyebabkan ramai orang tinggalkan atau lengahkan solat, tak nak tolong ibu, tak buat kerja rumah, tak semak kerja murid, tak layan suami dan macam-macam lagilah...Jadi, kita beringat-ingat, berpesan-pesan ya. Allah suka lebih suka apabila kita bersederhana dalam sesuatu amalan, asalkan istiqamah dalam melakukannya :)...

Tuesday, September 11, 2012

Cinta Sampai Syurga Part 1


Assalamualaikum ^___^

Untuk entri kali ini dan beberapa entri seterusnya, hunny akan cakap pasal asas-asas sebuah perkahwinan. Bukan sebab hunny nak nikah, tapi sebab baru selesai mengikuti kursus pra-perkahwinan.(hihihi) Memandangkan hunny bukanlah jenis yang pengingat sangat, jadi hunny sumbatkanlah semua perkara yang hunny pelajari dari kursus tu ke dalam blog ni. Sedikit sebanyak, bolehlah menjadi satu perkongsian sebab apa yang hunny belajar, bukannya khusus untuk perkahwinan sahaja, malah untuk kehidupan seharian juga. Kalau tulis dalam blog, insyaAllah tak hilang (melainkan terdelete T_T). Nanti kalau nak nikah, senang. Taip saja Piring Petri, terus boleh rujuk balik isi kandungan kursus. Hehehe…
Tapi, macam yang hunny tulis sebagai tajuk, kalau ada Part 1, mesti ada Part 2 dan seterusnya. Tujuan hunny bahagi-bahagikan menjadi banyak Part adalah disebabkan isi kandungan yang agak banyak. Itu pun kebanyakkannya adalah asas semata-mata. Suka hunny nak ingatkan, semua entri di bawah tajuk Cinta Sampai Syurga ni panjang-panjang. Jadi, sebelum teruskan, sit back, and enjoy. ^^V

Ok, untuk bahagian yang pertama, hunny akan cerita pasal perkara terpenting dalam sesebuah rumah tangga iaitu Akidah. Tidak ada akidah masih boleh nikah. Tapi, kalau nak dapat rumahtangga yang bahagia, dan cinta yang kekal insyaAllah sampai ke syurga, akidah kena ada, kena jaga ye tak? Yela, kalau nak bina masjid, kena ada asa yang kukuh. Kalau asas tak kukuh, nanti masjid runtuh. Kalau tak runtuh pun bergoyang, retak sini sana. Kan?

 Kenapa akidah penting?
Akidah penting sebab ianya adalah asas peribadi murni. Kalau dalam sesebuah rumahtangga itu suaminya berperibadi murni, isterinya pun begitu, anak-anak pun sama, agaknya, dari mana datangnya masalah? Siang malam ikut perintah Allah dan jauhi laranganNya. Allah suruh taat pada suami, ibu bapa, bertanggungjawab pada ahli keluarga, semua keluarga ni ikut. Agaknya dapat tak syaitan pecah-belahkan keluarga ni?Kalau ada masalah pun, agaknya boleh tak keluarga ni atasi?

Apa itu akidah?
Akidah adalah setiap kepercayaan dan tingkah laku yang diperlihatkan oleh seseorang individu muslim (gelaran bagi orang yang beragama islam) melalui ucapan serta membenarkan dengan hati lalu ditunjukkan dengan perbuatan. Semuanya haruslah berlandaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. (Tentang Al-Quran, InsyaAllah hunny akan cerita pada entri seterusnya)
Akidah itu asasnya Islam, Iman dan Ihsan. 

Apa itu Islam? Siapa orang Islam?
Ok, ingat dua ayat ini;
Pengertian Islam adalah,
1.       Tunduk dan patuh kepada Allah SWT dan
2.       Menunaikan ajaran yang dibawa oleh utusan Allah iaitu Nabi Muhammad SAW.
Jadi, orang Islam bolehlah dikatakan sebagai orang yang tunduk dan patuh kepada Allah serta menunaikan ajaran yang disampaikan oleh utusanNya.
Faham?^__^

Apa pula pengertian iman?
Iman diertikan sebagai percaya dan yakin. Ingat tau, percaya DAN yakin. Bukan percaya ATAU yakin. Keduanya harus hadir serentak. Kalau percaya sahaja tapi tak yakin tak boleh juga.

Kena percaya dan yakin kepada apa?
Percaya dan yakin kepada Allah, dengan cara, membenarkan dengan hati bahawa Allah itu satu-satunya Tuhan yang wajib disembah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruhNya. Membenarkan dengan hati haruslah disertakan dengan ikrar melalui lisan bahawa kita percaya dan yakin. Akhir sekali, bila hati dan tutur kata kita dah menunjukkan bahawa kita yakin, kita tunjuk dengan perbuatan. Bagaimana?

Hunny ambil contoh mudah. Katakan bahawa anda suka warna kuning. Dalam hati, anda yakin bahawa warna kuning adalah warna kegemaran anda kerana anda sentiasa suka melihat warna kuning. Kemudian, anda beritahu semua orang bahawa anda sukakan warna kuning. Bila anda dah yakin bahawa sukakan kuning, jadi tingkah laku anda menunjukkan anda suka kuning. Anda beli barang warna kuning, puji barang warna kuning cantik dan memilih barang-barang berwarna kuning sahaja, kan?

Begitu juga iman. Anda yakin Allah itu ada dan dalam hati, anda mempercayainya. Anda melafazkan kepercayaan anda dengan syahadah (kesaksian) bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Dia dan Rasulullah itu pesuruhNya. Bagaimana caranya kita nak tunjukkan bahawa kita percaya kepada Allah? Mestilah dengan cara mengikut semua perintahNya, meninggalkan laranganNya dan yang paling penting sekali, tidak menyekutukan (iaitu menyamakan Allah dengan makhluk lain atau menyembah selain Allah) Allah dengan apa-apa sekalipun. Boleh faham tak?

Akhir sekali adalah Ihsan. Apa itu Ihsan?
Iman adalah percaya, kan? Kita percaya Allah ada, kita percaya Dia melihat kita, mengawasi kita, menghitung kebaikan dan kejahatan kita serta menjaga kita. Kalau kita yakin bahawa Allah melihat kita, beranikah kita meninggalkan suruhanNya? Of course taklah kan? Adakah kita berani buat apa yang disuruh dengan sambil lewa? Agak-agaknya macam ni;

“Ish,takkan aku nak sembahyang tak khusyuk ni. Allah sedang tengok aku.” Haa..kiranya macam itulah ihsan.
Iaitu, melakukan ibadat dengan khusyuk, ikhlas dan yakin bahawa Allah sentiasa mengawasi apa yang sedang dilakukannya.

Individu yang mempunyai akidah yang mantap, sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah. Dia sentiasa yakin dan percaya bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan tiada Tuhan yang disembah melainkan Dia. Individu ini juga yakin bahawa Allah itu sentiasa ada dan memerhatikannya. Oleh itu, segala amalan dan ibadatnya dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh semata-mata untuk mencapai keredhaan Allah.
Boleh faham tak setakat ni? :)

InsyaAllah, kita sambung lagi pada en3 yang berikutnya ya. Salam ^___^

Thursday, September 6, 2012

Traffic Jam

Assalamualaikum ^____^

Lappy sudah kembali setelah semalaman bermalam di kedai servis komputer yang bertaraf langsung tiada bintang. Alhamdulillah, lappy berada dalam keadaan sihat sekarang. Jadi, bolehlah meneruskan kerja-kerja wajib (cthnya assignment) dan yang tak berapa nak wajib (blog entry).
Ok, berbalik kepada tajuk di atas, hunny menulis entry ini kerana akibat masalah yang berkaitan, hunny lambat masuk kuliah dan kena bagi show cause letter. Aduhai...bukannya sengaja. Tapi rasanya, memandangkan ramai yang pernah kena, baik masa nak pegi sekolah, kuliah atau tempat kerja, jadi hunny nak mengomel sedikit.
Pagi yang tak berapa nak bertuah itu, hunny dalam perjalanan balik ke institut. Kuliah mula jam 7.30 pagi. Hunny bangun pagi seawal 4.30 pagi, sebab tak nak lewat. Gerak dari rumah pun pukul 6.15 pagi...perjalanan dari rumah ke institut ambil masa lebih kurang 45 minit-1 jam. Now do the math. Kalau hunny gerak dari rumah pukul 6.15 pagi, pukul berapa agak-agak boleh sampai ke institut? Andaikan hunny balik guna jalan luar bandar, which means, no traffic light and no traffic jam; Sepatutnya, kalau halaju kereta 60km/j (yang biasanya ayah pandu dalam 70-80km/j), hunny boleh sampai ke institut kira-kira pukul 7.00-7.15 pagi kan? Paling lewat pun boleh lumba lari dengan pensyarah masuk ke kelas (my worst case scenario). Malangnya, pada pagi yang tak berapa nak bertuah tu, hunny sampai ke institut pukul 8.10 pagi..T_T..55 minit lewat daripada masa yang dianggarkan dan 40 minit lewat masuk kuliah..55 minit yang terlewat tu inilah yang terjadi..

(sumber-google image)



Sebab??kena beratur panjang dekat pangkalan feri masa nak menyeberang. Adoyai..banyaknya manusia nak turun kerja/kuliah/sekolah/pasar/ susah nak cakap. Barisan kereta yang beratur cuma ada satu lane. Ayah cakap, kalau tengok gayanya kena tunggu dalam 15 minit baru giliran masuk feri. Jadi, bolehla duduk dengan senang hati kan?sebab masa sampai kat pangkalan feri, jam baru pukul 7.05 minit. Tambah 15 minit, masih ada 10 minit extra sebelum kelas mula.
Tapi...ada tapinya...yang kena beratur panjang cuma kereta/bas/lori sahaja. Motosikal dan basikal tak payah susah-susah nak beratur. Itu masalah besar. Kalau dari seberang ni ada 1000 orang yang turun kerja naik moto ke seberang sana, agak-agaknya berapa kali feri tu ulang alik tanpa bawa kereta-kereta yang dah beratur panjang tunggu giliran berjam2? Patutnya, giliran hunny naik feri adalah lepas dua kali feri ulang alik dari seberang sini ke seberang sana. Tapi, gara-gara penunggang motosikal yang datang bederu-deru dan naik feri tanpa perlu que, giliran hunny delay sampai lepas 10 kali feri ulang alik. Masa tu dalam fikiran hunny macam ni.



harap sangat dapat naik moto sebab dah lambat nak masuk kuliah. Dalam hati memang dah pasrah 'konfirm kena dengan lecturer'. Habis tu nak buat macam mana? Bukan sengaja kan??
Takkanlah nak suruh orang yang naik moto tu beli kereta juga semata-mata nak mereka beratur. Tak adil juga rasanya suruh mereka beratur. Bayangkanlah kalau hujan lebat, orang yang pakai kereta enak je duduk dalam kereta. Tapi penunggang & pembonceng moto macam mana?
Tak adil juga kalau suruh pemandu kereta naik moto semata-mata sebab tak nak lambat turun kerja. Semua pun ada sebab sendiri kan? Dah tu, macam mana nak selesaikan masalah ni?Gerak dari rumah pukul 4.00 pagi? Guna jalan alternatif yang 2 kali lebih jauh? Adoyai...yang driving tu ayah hunny, bukannya hunny. Yang beli minyak kereta tu dia, bukan hunny. Jadi, takkanlah nak susahkan dia lebih2 (hunny versi anak baik). Kalau kita fikir itu cuma masalah kecik, tak semestinya orang lain pun fikir macam tu ye tak?
Jadi, sebagai bakal peneraju masa hadapan yang lambat masuk kuliah satu jam (rugi tau, belum lagi kena bambu dengan lecturer.huhuhuT_T) hunny harap sangatlah kat pihak tertentu tu, sudi2kanlah bina jambatan. Dari seberang sini ke seberang sana bukannya jauh sangat pun. Mak cik seberang sana laung 'kuih..kuih' pun boleh dengar dari sebelah sini. Kena bayar tol pun takpe...duit boleh dicari, masa tak boleh dibeli. Orang sebelah sini modal insan untuk pembangunan orang sebelah sana. Jadi, mudah2kanlah...sori kalau silap cakap..

hunny says~lagi satu, yang ni kena highlight KEPADA SIAPA-SIAPA YANG SELALU POTONG QUEUE NAIK FERI TU KONONNYA KECEMASAN TAPI SEBENARNYA TAKDE, TOLONGLAH INSAF ye. KALAU ADA 50 KERETA TENGAH QUEUE TAPI AWAK SENANG2 JE POTONG, 50 ORANG TU LA DOAKAN AWAK BETUL2 DAPAT KECEMASAN. LEBIH 40 ORANG DAH KAN? KALAU ALLAH BERKENAN, MAKBUL TAU.


Saturday, September 1, 2012

Mahu mati syahid?

Assalamualaikum wth...
Selawat salam ke atas junjungan besar Rasulullah S.A.W...

Sekarang, kini, hari ini, rasanya semua rakan-rakan sekuliah sedang sibuk menghadap komputer riba untuk melangsaikan hutang kajian tindakan yang bakal diserah kepada pensyarah untuk semakan pada Isnin depan. Tidak terkecuali diri saya sendiri yang sudah hampir 4 jam duduk menelaah setiap baris ayat dalam laporan kajian sejak dari pagi..(berhenti sekali sekala..lompat sini sana...jalan-jalan blog...rasanya makan masa satu jam juga buat semua tu^_____^)
Alang-alang, berhenti kejap. lawat blog terbiar ni....
Ketika 'bersiar-siar' di blog, google+ dan fb rakan-rakan, rasanya kerapkali saya terbaca komen, post dan status yang bertemakan 'STRESS DENGAN KERJA'. Ya, saya juga rasa begitu..sebelum ini, saya tidak sama sekali menafikan bahawa tugasan yang diberi itu saya anggap sebagai satu 'KETERPAKSAAN' lantas membuatkan diri saya berasa tidak rela dan tidak bersungguh dalam melaksanakannya. Kenyataan ini saya rujuk kepada diri saya sendiri sahaja. Bukan kepada orang lain.Tidak semestinya orang lain yang rasa'STRESS' dengan tugasan mempunyai sebab yang sama seperti saya kan?
Jadi, diharapkan rakan-rakan lain yang 'STRESS' tidak berkecil hati dengan pernyataan di atas.
Sedang saya mengelamun dengan alasan 'TEPU', saya terdengar sebuah lagu yang saya bercerita tentang 'SYAHID'...bukan syahid nama orang..tapi 'SYAHID yakni terkorban ketika berjuang demi agama. Terdetik di hati saya.

"Alangkah indahnya kalau saya dapat peluang mati syahid...ikut pergi melawan kekejaman ke atas saudara sendiri dan berjuang menegakkan agama Allah di muka bumi"

Saya terlupa, bahawa Allah telah pun mengurniakan peluang itu kepada saya. Bahkan untuk kita semua...Ya, peluang untuk syahid, tetapi saya dan mungkin juga anda, tidak memanfaatkannya. Saya berharap untuk pergi ke medan tanpa menyedari bahawa saya sudah pun berada di dalamnya.

Saya tidak berada di Rohingya, bukan juga di Palestin atau mana-mana tempat yang memerlukan saya bersedia mengangkat senjata. Pada saat ini  saya berada di bilik asrama, di sebuah kampus pendidikan, di dalam bilik yang harum selesa, dengan kipas yang berpusing laju, makanan tersedia di atas meja dan bantal empuk serta katil yang bersedia mengalas ketika beradu. Mana medannya?Perhatikan hakikat di bawah ini;

Rasulullah S.A.W pernah bersabda mafhumnya;
"Siapa yang keluar menuntut ilmu, maka ia berjuang fisabilillah sehingga ia kembali"

S:Kita sedang buat apa?
J:kita sedang buat assigment.
S:Kenapa kita buat assignment?
J:Kerana kita nak belajar
S:Mengapa kita belajar?
J:Kita nak ilmu

Itu yang sepatutnya.Tapi...

S:Ikhlaskah kita buat assignment?
J:Tidak
S:Kenapa?
J:Buat assignment semata-mata sebab nak lulus ujian supaya dapat grad.
S:Niat kita apa?
J:nak lulus ujian
S:Bukan sebab nak tuntut ilmu?
J:Sikit--sikit 
S:Kalau niat kita bukan nak tuntut ilmu, boleh tak ini dikira jihad?
J:....
S:Kalau tiba-tiba Allah panggil kita balik ke sisiNya pada saat ini, adakah kita dikira syahid?
J:...
S:Kenapa diam?
J:Astaghfirullah hal a'zim...ruginya...

Rasulullah kata lagi;
"Menuntut ilmu adalah wajib bagi seorang muslim"

S:Solat wajib tak?
J:Wajib..
S:Puasa wajib tak?
J:Wajib...
S:Kalau tak buat dapat apa?
J:Dosa...
S:Kalau buat dalam keadaan terpaksa?
J:Allah murka...
S:Tuntut ilmu wajib tak?
J:Wajib
S:Kalau tak buat dapat apa?
J:Dosa...
S:Kalau buat tak ikhlas?
J:...astaghfirullah hal a'zim...

Ruginya kan??

 Rugi sebab, Rasulullah kata Allah dah janji;
"Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah akan melorongkan jalan baginya ke syurga"

Kita tuntut ilmu. tapi, adakah kita bersungguh-sungguh? sama seperti, kita solat, tapi adakah kita khusyuk? Kesimpulannya, peringatan untuk diri dan semua, semasa buat 'assignment', buatlah dengan hati yang ikhlas dan berharap agar ianya mendapat pahala ibadah di sisi Allah. InsyaAllah, STRESS akan hilang dan diganti dengan KEMANISAN beserta harapan agar Allah menyediakan lorong ke syurga untuk kita. Andai ketika itu kita 'pergi', moga-moga kita 'pergi' sebagai mujahid dan mujahidah kerana pencarian ilmu adalah pelengkap sebagai pejuang di jalanNya...bukannya berjuang di medan sebenar itu tak perlu, malah lebih manis kalau dapat. Cuma, hargai kurniaan Allah kepada kita sebelum kita kerugian...wallahualam...

"Tiada rehat bagi pejuang agama melainkan mati"(^______^)